Tuesday, March 25, 2014

Kegembiraan di sebalik Kedukaan Tragedi MH370


Malaysia dirundung kedukaan dengan pengumuman tragedi yang menimpa pesawat MH370.
Seramai 239 penumpang dan anak kapal pada adat manusiawinya berpindah ke alam seterusnya menemui PenciptaNya.
Selaku umat Islam kita dikehendaki mengamalkan ayat 155 surah Al Baqarah .


 “Orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: 
اِنَّا ِللهِ وَاِنَّا اِلَيْهِ رَاجِعُوْنَ
"Sesungguhnya Kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah Kami kembali."
Kepada ahli keluarga mangsa mintalah kebaikan di sisi Allah di sebalik apa yang berlaku berdasarkan arahan Nabimu di dalam Sahih Muslim iaitu:
اللَّهمَّ أجِرني في مُصيبَتي واخلُفني خيرًا مِنها
"Ya Allah, berilah pahala padaku menerusi musibah ini dan gantikanlah untukku dengan yang lebih baik”

Berita gembira kepada kaum keluarga mangsa yang beragama Islam, kerana mereka telah terpilih menerima janji Rasulullah sebagai salah seorang yang mendapat ganjaran mati syahid akhirat.
Ini berdasarkan hadis di dalam Shahih Ibnu Hibban.
الشهادة سبع سوى القتل في سبيل الله : والغريق شهيد ،…، وصاحب الحريق شهيد ….
“Ada tujuh lagi golongan yang syahid selain daripada terbunuh di dalam perang sabilillah, antaranya mereka yang mati lemas,.. dan mereka yang mati dalam kebakaran…”


Kematian mereka merupakan kematian terindah, walaupun tragis dan boleh menimbulkan trauma jika dibayangkan saat kematian tersebut namun rahmat Allah lebih besar untuk mereka yang kini sedang aman seumpama di dalam dakapan ibu sambil menunggu tiupan sangkakala kedua yang akan membangunkan semua manusia untuk ke padang mahsyar menghadapi Hari Perhitungan.

Pemergian mereka juga diiringi dengan jutaan doa dan pengharapan yang terbaik buat mereka. Pelbagai bacaan Al-Quran mengiringi mereka, semuanya ini memberikan satu gambaran awal kemuliaan mereka. Tragedi yang menimpa mereka menyebabkan ummah bersatu dengan imam yang satu dengan doa yang satu.

Yang tinggal ialah kita yang masih tidak tahu destinasi manakah berakhirnya denyutan nyawa kita, bagaimanakah tercabutnya nyawa kita? Adakah dengan rentapan malaikat maut..di saat sedang terkinja-kinja dengan kelalaian yang diaktifkan lagi dengan dadah?

Yang tinggal ialah kita yang perlu mengikut segala acuan Allah dan RasulNya bagi memastikan kematian kita juga kematian terindah.. kematian terpilih….

- Ustaz Azhar Bin Yahya -


P/S : Tiada kata yang mampu di luah dikala hati remuk berendam luka.

No comments:

Post a Comment